- Lain-lain
Sidang Kemuncak Media Rentas Selat Diadakan di Beijing
Orang ramai menghadiri sidang kemuncak media rentas Selat di Beijing, ibu negara China pada 29 Mei 2025. Ia menarik penyertaan hampir 150 ketua media, cendekiawan dan wakil daripada Tanah Besar dan Taiwan. (Xinhua/Chen Yehua)
Satu sidang kemuncak media rentas Selat telah diadakan di Beijing pada Khamis, menarik penyertaan hampir 150 ketua media, cendekiawan dan wakil daripada Tanah Besar dan Taiwan.
Fu Hua, Presiden Agensi Berita Xinhua dalam ucapannya menyebut bahawa media berfungsi sebagai jambatan penting untuk berkongsi maklumat, memperdalam kesalingfahaman dan memperkukuh persaudaraan di serata Selat Taiwan.
Beliau turut menggesa pengamal media dari kedua-dua belah pihak untuk bersama-sama meningkatkan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat, membulatkan keyakinan terhadap budaya dalam memelihara warisan bersama, serta merangkul tanggungjawab gemilang peremajaan negara.
Fu juga menzahirkan harapan supaya pengamal media di seluruh Selat akan terus menyumbang kepada pembangunan aman hubungan rentas Selat.
Turut menyampaikan ucapan adalah Wu Xi, iaitu timbalan ketua Pejabat Kerja Taiwan bagi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pejabat Hal Ehwal Taiwan Majlis Negara.
Dalam ucapannya, beliau menyebut bahawa saluran media di kedua-dua belah Selat harus memainkan peranan yang lebih besar dalam membawa hubungan rentas Selat kembali ke landasan yang betul, memupuk ikatan hati dan minda yang lebih erat, dan bersama-sama mengemudi peralihan teknologi dalam landskap media.
Wakil dari Taiwan, termasuk Chou Hsi-wei, iaitu naib pengerusi Want Want China yang berpangkalan di Taiwan, dan Gary Wang, presiden Eastern Group, telah menekankan peri penting dalam meningkatkan pertukaran dan kerjasama serta mengemudi cabaran ke masa depan yang cerah.
Dianjurkan secara bersama oleh Xinhuanet dan Beijing Daily, sidang kemuncak itu melancarkan program inkubasi untuk profesional media muda di seluruh Selat dan mengeluarkan inisiatif bersama untuk kerjasama media dalam dekad akan datang.