- Lain-lain
Lebih Banyak Kawasan di China Kini Laksanakan Dasar Pemulangan Cukai
(Xinhua/Mao Siqian)
China akan mengembangkan dasar pemulangan cukai bagi pelancong yang akan meninggalkan negara itu di dua tempat mulai 1 Julai iaitu Dalian, bandar tepi pantai di timur laut China, serta Provinsi Hubei di tengah China, lapor Xinhua yang memetik Kementerian Kewangan pada Isnin.
Menurut Xinhua, dasar tersebut membenarkan pelancong luar negara untuk menuntut semula cukai nilai tambahan terhadap pembelian yang layak, dan dibuat di kedai khusus yang menawarkan pemulangan cukai sebelum meninggalkan China.
Kawasan-kawasan yang layak juga boleh melaksanakan dasar tersebut selepas membuat permohonan dengan organisasi kerajaan yang berkaitan.
Untuk rekod, China mula melaksanakan dasar pemulangan cukai kepada pelancong asing pada 2015. Sejak itu, skala pemulangan cukai telah bertumbuh dari tahun ke tahun, memberikan manfaat buat pelancong asing yang kian bertambah.
Pada 27 April tahun ini, negara itu memperkenalkan satu pakej langkah bagi mengoptimumkan dasar tersebut, termasuk mengurangkan nilai ambang pembelian minimum untuk pemulangan semula, meningkatkan siling pemulangan tunai, mengembangkan jaringan kedai-kedai yang menyertai program itu, dan memperluas liputan produk.
China juga turut mempromosi model perkhidmatan pemulangan selepas membeli, yang membolehkan pelancong untuk menerima pemulangan cukai secara serta-merta di kedai, berbanding perlu menunggu sehingga mereka mahu meninggalkan negara itu.
Data rasmi menunjukkan bahawa antara 27 April dan 26 Mei, angka transaksi pemulangan cukai yang diproseskan oleh pihak berkuasa cukai negara itu melonjak sebanyak 116 peratus dari tahun ke tahun, manakala jualan di kedai yang menawarkan pemulangan cukai meningkat sebanyak 56 peratus.