- Lain-lain
Bandar Kecil Berimpak Besar, Arxan Jadi Jambatan Rentas Budaya
Pemandangan bandar di Arxan, liga Xing’an, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, utara China. (Foto ihsan jabatan publisiti Arxan)
Tersorok jauh di barat laut liga Xing’an di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, Arxan tersenarai sebagai ‘bandar paling kecil’ di China dengan populasinya sekadar 28,600 orang. Meskipun begitu, ia mempunyai pengaruh yang besar dalam pelancongan dan pertukaran budaya.
Dahulunya merupakan pekan sempadan terpencil, Arxan telah mengalami perubahan pada tahun-tahun mutakhir ini, menjadi magnet yang menarik kehadiran pengunjung menerusi kecantikan semula jadinya yang asli dan komitmennya terhadap pembangunan mampan.
Elemen unik seperti tasik kawah, hutan nan luas, dan mata air terma telah memberikan ia gelaran ‘destinasi rehat minda’, khususnya dalam kalangan pengembara dari negara jiran iaitu Mongolia.
Bagi O Adiya, ahli perniagaan dari Mongolia yang juga Presiden Dewan Perdagangan di Dornod, Mongolia, beliau berpendapat bahawa Arxan dilihat terserlah berbanding tempat-tempat lain yang dilawatinya di China.
“Pemandangan semula jadinya sangat menakjubkan. Bagi ramai warga Mongolia, Arxan adalah tempat untuk mengembara yang sangat sesuai,” ujarnya.
Terletak di lereng-lereng barat daya Pergunungan Khingan Raya, Arxan menawarkan penumpuan yang unik, iaitu antara hutan dan peradaban tanah rumput. Pelancong boleh mendaki menerusi belukar yang tebal, berjalan-jalan menerusi tanah rumput yang sangat luas, serta menghayati bentuk susunan batuan yang dramatik dan puncak gunung yang dilitupi salju. Pada musim sejuk, mata air mineral dipanaskan secara semula jadi dengan varieti suhu yang pelbagai dan tempat-tempat terapeutik turut menjadi popular.
“Setiap tahun, ramai penduduk Mongolia memasuki menerusi pelabuhan sempadan Arxan,” ujar Tang Xin, timbalan ketua pasukan pemeriksaan sempadan di stesen pemeriksaan imigresen Arxan.
Suasana di pelabuhan sempadan China-Mongolia di Arxan, liga Xing’an di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China. (Foto ihsan jabatan publisiti Arxan)
Katanya, selain daripada membeli-belah, ramai pelancong yang datang untuk mencari landskap semula jadi dan mata air yang terapeutik, dengan bulan September merupakan waktu puncak bagi pemandangan yang indah.
Perusahaan tempatan telah memanfaatkan peluang yang terhidang di depan mata untuk menyediakan pengalaman yang bersesuaian buat pelancong rentas sempadan.
Fu Lihong, penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan, telah membangunkan pakej kesejahteraan tersuai yang menampilkan terapi tradisional dan mata air panas.
“Pelancong Mongolia menghargai perubatan Mongolia tradisional, yang turut memperakui manfaat kesihatan dalam mandi lumpur dan mata air terma,” jelasnya sambil memberitahu bahawa faktor itu sekali gus mendorong peranginan geoterma Arxan menjadi popular.
Untuk menjamin keselesaan pengunjung yang jumlahnya kian meningkat, pelabuhan sempadan Arxan yang suatu ketika dahulu hanya buka secara bermusim iaitu lapan bulan setahun, kini beroperasi sepanjang tahun.
Pembangunan Arxan berakar umbi dalam transformasi yang lebih besar. Sebelum ini dikenali sebagai hab industri kayu yang utama, bandar itu telah beralih kepada perlindungan ekologi susulan daripada pelaksanaan program pemulihan hutan semula jadi di seluruh China.
Hari ini, dengan kadar liputan hutan melebihi 80 peratus dan tumbuh-tumbuhan melangkaui 95 peratus, Arxan merupakan tempat berlindung buat biodiversiti dan juga sebuah model ekopelancongan. Dengan memanfaatkan industri hijaunya yang pesat, Arxan turut memupuk budaya ekologi yang memandang ke luar.
Pemandangan musim luruh di Taman Hutan Kebangsaan Arxan. (People’s Daily Online/Shi Jiamin)
Hutan-hutan yang tebal di bandar itu juga merupakan tempat berlindung yagn selamat bagi hidupan liar tempatan. Bagi pelancong yang melawat Arxan pada musim sejuk, mereka mungkin berpeluang untuk melihat gazel Mongolia, rusa merah dan kijang di sepanjang laluan hutan.
Kerjasama alam sekitar telah menjadi batu asas kepada pertukaran luar antara liga Xing’an dan jirannya, Dornod. Seiring dengan kemajuan kempen Mongolia untuk menanam 1 bilion pokok, spesies pokok yang tahan sejuk dan mempunyai kadar kemandirian tinggi yang berasal dari Pergunungan Khingan Raya seperti pokok fir dan larka dilihat muncul sebagai pilihan ideal untuk penanaman semula hutan.
Xiao Cuiyan, ketua pejabat hal ehwal luar liga Xing’an berkata bahawa usaha membina tanah air yang lebih hijau merupakan aspirasi yang dikongsi bersama antara China dan Mongolia. Beliau berkata, pokok-pokok yang berdaya tahan di Pergunungan Khingan Raya telah menjadi ‘duta persahabatan’ yang mewakili ikatan budaya dan harapan ekologi buat kedua-dua negara.
Sebuah pameran China-Mongolia tentang produk organik dan hijau diadakan di liga Xing’an, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China. (Foto ihsan jabatan publisiti liga Xing’an)
Menurut Xiao, liga tersebut secara aktif berkongsi dengan rakan-rakan dari Mongolia untuk menyediakan kepakaran dan anak pokok, dengan matlamat untuk menanam benih hijau tersebut di serata steppe Monglia.
Terletak di persimpangan China, Mongolia dan Rusia, Arxan telah berfungsi sebagai pintu masuk bagi pertukaran budaya sejak sekian lama. Dengan sejarahnya yang kaya dalam interaksi rentas sempadan, liga Xing’an kekal menjadi tanah yang subur bagi ikatan antara rakyat.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ia telah menganjurkan acara-acara utama dan pertukaran budaya yang pelbagai, termasuk minggu kesenian dan kebudayaan China-Mongolia-Rusia, pertandingan bola jaring subkawasan, dan persembahan lagu-lagu lama Mongolia.
“China, Rusia dan Mongolia adalah jiran rapat yang terhubung oleh gunung dan sungai. Kami berkongsi persahabatan yang bersejarah lama dan masa depan yang berkongsi,” ujar Xiao, sambil memberitahu bahawa pemandangan paling indah di Xing’an bukan sahaja terletak pada alam semula jadi, tetapi juga dalam semangat keterbukaan, keterangkuman dan keharmonian rakyatnya.
- Warna-warni “Baju Panas” Hiasi Pokok Pada Musim Sejuk di Mongolia Dalam
- Pelancongan Musim Sejuk Kini Bermula di Hulun Buir
- Wartawan Mesir Kagum Lihat Mesin Perah Susu Berputar di China
- Pemandangan Indah Tasik Hulun di Mongolia Dalam
- Kubuqi Desert Rally Raid Buka Tirai di Mongolia Dalam
- Pesta Nadam Buka Tirai di Mongolia Dalam China
- Gurun Badain Jaran China, Keajaiban Warisan Dunia UNESCO yang Wajib Dilawati
- Pembangunan Pelancongan Padang Pasir di Dalad Banner Seiring Dengan Perlindungan Ekologi
- Gurun Badain Jaran Nan Penuh Panorama
- Hohhot: Padang Rumput Celah Kota