- Lain-lain
Bengkel Luban Tawar Sokongan Pendidikan Vokasional kepada Kazakhstan
Di tengah-tengah bahang musim panas, perbincangan hangat menjadikan suasana di dalam sebuah kelas di Institut Vokasional Tianjin jauh lebih membara daripada sang mentari yang terik menyinari dunia luar.
Dengan bantuan terjemahan dalam masa nyata melicinkan bicara, 15 anggota fakulti dari Universiti Kebangsaan Eurasia L.N. Gumilyov Kazakhstan berinteraksi ramah bersama pengajar tempatan. Ini merupakan sebahagian daripada persiapan untuk penganjuran sesi kedua Bengkel Luban di Kazakhstan.
Bengkel Luban, yang dinamakan sempena Lu Ban iaitu seorang tukang bina mahir pada zaman China purba, ialah sebuah program pendidikan vokasional anjuran bersama China dan negara-negara sahabat untuk memupuk bakat dalam kalangan orang tempatan.
Pada Disember 2023, sesi pertama Bengkel Luban di Kazakhstan, hasil kerjasama Institut Vokasional Tianjin dan Universiti Teknikal Kazakhstan Timur, dilancarkan secara percubaan. Fasa awalnya menawarkan latihan kepada lebih 400 pelajar, dengan memfokuskan bidang teknologi kenderaan.
Menurut Li Guohui, pensyarah di Kolej Kejuruteraan Elektronik dan Maklumat Institut Vokasional Tianjin, jadual latihan semasa yang disesuaikan mengikut keperluan Kazakhstan, menumpu pada kecerdasan buatan (AI), berlangsung dari 23 Jun hingga 16 Julai 2025.
“Tahun-tahun kebelakangan ini, Kazakhstan telah banyak berusaha untuk mengembangkan teknologi AI,” kata Li, yang memantau penganjuran bengkel baharu ini bagi pihak institut tersebut. Beliau menambah bahawa negara Asia Tengah itu menampakkan permintaan yang semakin tinggi terhadap bakat dalam bidang seperti pertanian pintar, perlombongan, perkilangan, pengangkutan dan logistik.
Memandangkan China memiliki kelebihan kompetitif dalam beberapa aspek, negara ini mampu membantu usaha Kazakhstan meluaskan kumpulan bakat tempatan, jelas Li lagi.
“Kazakhstan terkenal kerana sektor pertanian dan penternakannya yang maju, sedangkan teknologi dron dan AI boleh diguna pakai dalam sesetengah bidang, termasuk penggembalaan dibantu dron dan pengawasan bencana tanaman,” ujarnya.
Gulden Ulyukova, pensyarah kanan jabatan keselamatan maklumat Universiti Kebangsaan Eurasia L.N. Gumilyov menganggap Bengkel Luban sebagai peluang yang baik untuk Kazakhstan mengembangkan pendidikan teknikal terutamanya dengan penawaran kursus-kursus melibatkan pembelajaran mendalam, pembelajaran mesin, perlombongan data dan keselamatan Internet perindustrian.
Ulyukova, yang melawat China untuk kali pertama, kagum akan warisan budaya negara ini serta keramahan orang tempatan.
Ramazan Sadvakassov, pensyarah jabatan teknologi kecerdasan buatan dari universiti yang sama pula menzahirkan penghargaannya atas tumpuan yang diberikan terhadap latihan teknikal dalam proses pengajaran.
Selepas penglibatannya dengan teknologi moden seperti dron, lengan robotik, serta pengecaman wajah dan objek, beliau akan berkongsi pengetahuan yang diperoleh di Tianjin dengan para pelajarnya, sekali gus menyumbang kepada pertukaran antara Kazakhstan dan China pada masa depan.
Pada pandangan Li, Bengkel Luban bukan sekadar membantu membawa teknologi terkini kepada golongan muda di negara-negara lain dan merangsang pertumbuhan di tempat terbabit, malah memupuk lebih ramai utusan persahabatan antara negara. Ini justeru menyumbang ke arah pembinaan sebuah komuniti yang berkongsi masa depan buat umat manusia.
Sesi kedua Bengkel Luban di Kazakhstan dijangka dibuka secara rasminya pada Oktober ini.
- China, Kazakhstan Bersedia Perkasakan Kerjasama Bilateral
- Xi Dijadual Hadiri Sidang Kemuncak China-Asia Tengah Kedua
- Astana: Sekilas Pandang
- Xi, Tokayev Hadir Sesi Bertemu Media
- China, Kazakhstan Komited Bina Komuniti Berkongsi Nasib Kedua-dua Negara
- Bersama Bina Komuniti Berkongsi Nasib China-Kazakhstan yang Lebih Berkonotasi: Xi
- Xi, Tokayev Saksi Pelancaran Pusat Budaya China-Kazakhstan
- Kisah Laluan Sutera Presiden Xi: Era Baharu Bermula di Kazakhstan
- Pusat Perubatan Tradisional China-Kazakhstan Dekatkan Hati Rakyat
- Xi, Tokayev Adakan Perbincangan Kumpulan Kecil